fb fb fb fb fb

ETS tambah perkhidmatan perjalanan KL Sentral-Ipoh

Foto RTM

IPOH, 26 Jun-Bermula 1 Ogos ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah perkhidmatan ETS terbaharu yang dijangka dapat memendekkan masa perjalanan untuk sektor KL Sentral-Ipoh selama dua jam berbanding tiga jam sebelum ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO) KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, melalui perkhidmatan ETS terbaharu itu, ia dapat memberi penjimatan masa perjalanan kepada penumpang ke destinasi sama ada untuk melancong, bercuti atau pulang ke kampung halaman.

"Perjalanan antara KL ke Ipoh melalui Tren ETS adalah 3 jam. Jadi, kita akan adakan satu perkhidmatan yang mana dia cuma ambil masa selama dua jam sahaja untuk dari KL ke Ipoh dan juga Ipoh ke KL itu adalah penambahbaikan yang kita buat untuk penumpang-penumpang kita yang membuat perjalanan daripada KL ke Ipoh", katanya demikian kepada media pada majlis pelancaran Pengiklanan Pakej Promosi Maklumat Produk-Produk Dan Tempat-Tempat Pelancongan Menarik Di Bandar Raya Ipoh Melalui ETS di sini.

Ujarnya, melalui perkhidmatan terbaharu itu juga masa perjalanan untuk sektor KL Sentral-Butterworth dan KL Sentral-Padang Besar akan dipendekkan 45 minit.

Selain bertujuan untuk menyemarakkan Tahun Melawat Perak 2024, Ia sebagai persediaan untuk meletakkan bandar raya Ipoh dalam peta pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD