fb fb fb fb fb

Kematian mengejut golongan belia disebabkan sakit jantung

Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Kes kematian mengejut disebabkan serangan jantung dilaporkan melibatkan golongan muda berusia antara 20-an dan 30-an berpunca daripada ketagihan tembakau dan rokok elektronik (vape).

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, keadaan itu bercanggah dengan persepsi orang ramai yang mengatakan penyakit itu hanya menyerang warga emas.

"Kalau ikut statistik di Malaysia ini punca utama kematian pada umur 40 tahun ke atas ialah serangan jantung, secara purata. Tetapi di IJN, sebab kami hospital jantung, kami dapat rujukan yang lebih daripada hospital biasa.

"Jadi, saya pun pernah ada pesakit umur 19 tahun yang kena serangan jantung. Apabila saya tanya, rupanya dia sudah menghisap rokok daripada Tingkatan 1 lagi. Itu merupakan satu benda yang merisaukan kita," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024 di IJN di ibu negara.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 dan Tinjauan Kesihatan Remaja 2022, menyaksikan sedikit peningkatan bilangan perokok dalam kalangan remaja di Malaysia membabitkan tahun 2012 hingga 2017.

Selain itu, terdapat peningkatan trend dalam penggunaan e-rokok atau penggunaan vape kira-kira 42.2 peratus remaja mencuba e-rokok atau vape sebelum usia 14 tahun dan kebanyakannya adalah remaja lelaki.

Laporan itu turut menyatakan penggunaan rokok dalam kalangan remaja berkurang kepada 6.2 peratus berbanding 13.8 peratus dalam NHMS 2017.

Namun, terdapat peningkatan ketara bagi pengguna vape atau e-rokok dari tahun sama iaitu daripada 9.8 peratus kepada 14.9 peratus.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI