KUALA LUMPUR, 26 Jun- Trafik penumpang udara Malaysia meningkat 12.2 peratus tahun ke tahun kepada lapan juta penumpang pada Mei 2024.
Jelas Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), pertumbuhan didorong perjalanan antarabangsa yang meningkat di rantau ASEAN dan bukan ASEAN.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim melalui saytu kenyataan memaklumkan, angka trafik Mei 2024 menunjukkan daya tahan, selain pemulihan berterusan sektor penerbangan.
Ini khususnya trafik antarabangsa, yang menjadi petunjuk positif perjalanan global dan persekitaran pelancongan.
Trend itu diramal berterusan, berdasarkan pemulihan laluan antarabangsa dan tambahan kekerapan penerbangan.
Jumlah trafik penumpang udara bulan lalu telah mencapai 97.2 peratus daripada paras pra-pandemik.
Trafik penumpang antarabangsa berjumlah 4.1 juta.
Manakala trafik domestik merekodkan 3.9 juta penumpang.
Untuk lima bulan pertama 2024, trafik penumpang udara berjumlah 38.5 juta, naik 16 peratus daripada 33.2 juta tempoh sama tahun 2023.