fb fb fb fb fb

Pindaan perlembagaan demi kestabilan parti -Zahid

(Zahid Hamidi dan Ismail Sabri)

KUALA LUMPUR, 15 Mei- Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Khas UMNO 2022 menyebut, pindaan perlembagaan itu dibuat demi kestabilan parti itu untuk masa akan datang.

Beliau berkata, beberapa pendekatan termasuk keabsahan kelulusan pindaan Perlembagaan Umno dapat memberi ruang kepada parti itu mengorak langkah dan menyusun strategi berkesan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) pada masa depan tanpa perlu bergelut dengan masalah dalaman.

"Ia akan memberi ruang kepada pentadbiran parti di peringkat pusat, bahagian dan cawangan untuk fokus kepada gerak kerja menghadapi PRU pada setiap penggal.

"Setelah PRU selesai, pemilihan parti akan dijalankan dan pasukan baharu akan dipilih. Pasukan yang baharu itu mempunyai masa maksimum lima tahun untuk menumpukan tenaga dan gerak kerja demi kesejahteraan rakyat.

"Pada masa yang sama, kestabilan parti terus terpelihara, bagi menghadapi pilihan raya-pilihan raya umum seterusnya," katanya.

Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu adalah usaha, amanah dan tanggungjawab ahli Umno terhadap kelangsungan parti.

Malah katanya, ia menuntut ahli Umno untuk berlapang dada dan berjiwa besar, bagi memastikan parti terus mekar menuju ke satu abad perjuangannya.

Menurutnya, pendekatan Umno yang juga memberi ruang kepada muka-muka baharu pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah antara bukti parti turut tidak ketandusan pemimpin.

"Ini memperlihatkan kesiapsiagaan Umno, untuk memastikan obor perjuangan parti terus semarak menyongsong usia 100 tahun.

"Inilah kedinamikan politik Umno. Kita sentiasa bersedia membuat anjakan agar sesuai dengan tuntutan semasa. Kini, jumlah pengundi muda berusia bawah 40 tahun, melebihi 12 juta orang atau mewakili 58 peratus daripada jumlah keseluruhan 21 juta pengundi.

"Apakah Umno tidak cakna akan perkara ini? Apakah kita yang sudah bertapak dan menjadi wakil rakyat sejak lima, enam, tujuh atau lapan penggal masih merasakan ini zaman kita lagi/," ujar beliau.

(Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri) dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan (baju hijau)
  sertaPerdana Menteri merangkap Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah)
pada Perhimpunan Agung Khas Umno 2022 di WTC)

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Agung Umno (PAU) Khas di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Zahid turut menegaskan, UMNO tidak mempunyai DNA atau baka untuk mencetuskan kekacauan yang boleh menjerumuskan negara kepada keadaan tidak menentu.

"UMNO punya catatan membangunkan negara. UMNO bersejarahkan kemakmuran dan kestabilan. UMNO berwajahkan keharmonian dan kesejahteraan.

Justeru katanya, soal kestabilan, keharmonian, kemakmuran serta kesejahteraan adalah agenda yang tidak pernah luput, daripada kamus perjuangan UMNO.

Media Baharu