fb fb fb fb fb

Usul pindaan perlembagaan UMNO lulus



KUALA LUMPUR, 15 Mei- UMNO hari ini meminda perlembagaan partinya bagi melanjutkan pemilihan parti dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.

Pindaan itu mendapat sokongan sebulat suara perwakilan UMNO yang hadir pada persidangan Agung Khas UMNO di ibu negara.

Usul pindaan perlembagaan parti tersebut dilakukan mengikut Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO.

Ia dibawa Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan mendapat sokongan 2,586 perwakilan.

Usul pindaan Perlembagaan itu sebelum ini sudah dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO, Mac lalu dan kemudiannya diluluskan Majlis Kerja Tertinggi
(MKT) UMNO.

Terdahulu, menerusi pembentangan yang dibacakan kepada perwakilan, Khaled memaklumkan bahawa secara umumnya, pindaan melalui Perhimpunan Agung Khas UMNO ini melibatkan hanya tiga fasal iaitu Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2.

“Dengan hanya melibatkan 3 fasal ini sahaja, ia bermakna pemilihan parti tetap diadakan 3 tahun sekali seperti yang terkandung dalam Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO. Sebaliknya peruntukan dan fasal baharu yang dipinda dan dimasukkan ini adalah fasal pengecualian kepada pemilihan 3 tahun sekali tersebut.

 


(Pindaan itu mendapat sokongan sebulat suara perwakilan UMNO yang hadir pada persidangan Agung Khas UMNO di ibu negara)

“Fasal pertama yang dipinda adalah Fasal 10.16 yang sekarang ini memperuntukkan bahawa, Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.

“Fasal ini akan dipinda untuk memberi kuasa dan pilihan kepada MKT untuk membuat satu lagi bentuk penangguhan kepada pemilihan parti iaitu penangguhan selama 6 bulan selepas sesuatu PRU itu diadakan,” katanya.

Dalam erti kata lain jelasnya, peruntukkan Fasal 10.16 yang sedia ada akan dipinda menjadi Fasal 10.16.1 dan akan berbunyi seperti berikut:

Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan atau tidak lebih daripada enam (6) bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat), yang mana terkemudian.

“Maka, selain daripada tempoh penangguhan selama 18 bulan yang dibenarkan sebelum ini, MKT selepas ini turut berhak untuk menangguhkan pemilihan parti kepada suatu tempoh tidak melebihi 6 bulan selepas sesuatu PRU itu diadakan, bergantung kepada yang mana satukah lebih terkemudian.” katanya.

Media Baharu