fb fb fb fb fb

Pindaan Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kekang judi dalam talian

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 15 Jun - Undang-undang berkaitan judi sedia ada perlu dipinda dengan segera bagi tujuan penambahbaikan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan akta sedia ada iaitu Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953 tidak lagi releven dalam mengekang isu berkaitan judi dalam talian.

Beliau berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus meningkatkan keupayaan dalam mengatasi perkara tersebut melalui pengumpulan data yang tepat.

(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail)

"Sekarang judi dalam talian, akta masih sama, kalau Polis hendak ambil tindakan, mereka cabar di Mahkamah. Judi dalam talian tidak termasuk dalam Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953, mereka menang, jadi kita tekad untuk pinda.

"Kita sudah sekat 2,119 laman sesawang tapi bila kita sudah sekat ada laman sesawang yang lain dan Polis kena buat 2,3 langkah kehadapan. Jadi kita wujudkan kesedaran kepada orang awam untuk tidak terlibat dalam setiap telegram yang mempromosi judi dalam talian," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Ramanan Ramakrishnan di Dewan Rakyat.

Tambah Saifuddin, KDN turut berkerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memantau aktiviti berkenaan.

Sementara itu, Saifuddin turut tidak menafikan wujud naugan politik dalam aktiviti judi dalam talian.

Katanya, ia merupakan satu kekangan besar bagi kementeriannya dalam menjalankan siasatan serta menyelesaikan sesuatu kes.  

"Ya, memang wujud elemen politik dalam hal ini dan dari situlah datangnya pemberi pengaruh dan pembela dan dari situlah datangnya rasuah. Ahli politik berperanan sebagai pelindung supaya tindakan tidak diambil," katanya.

Media Baharu