KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Beberapa penambahbaikan telah dilaksankaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), termasuk mengembalikan penganjuran persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) sebanyak dua kali setahun seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Ali Abdul Halim, usaha itu bagi memastikan suara belia terus didengari dalam merangka dasar negara.
"Antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan adalah pemulangan semula persidangan MPBN kepada dua kali setahun bermula tahun 2024, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 46 Akta 668.
"Selaras dengan agenda pendigitalan negara, KBS turut menyiarkan persidangan ini secara langsung melalui platform media sosial rasmi KBS bagi memastikan perbincangan MPBN dapat diakses dan didengari oleh lebih ramai golongan belia di seluruh negara," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya beberapa usul penting turut dibincangkan, ini termasuk pelan mitigasi banjir, usaha memerangi dadah sintetik, pemerkasaan industri e-sukan dan pendidikan prasekolah percuma.
Persidangan MPBN juga dilaksana di peringkat negeri dan daerah bagi memastikan peranan dan penyertaan belia lebih inklusif.