fb fb fb fb fb

Penstrukturan semula NAFAS sedang dilaksana secara menyeluruh

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 6 Ogos -Penggantungan perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berkuat kuasa sejak 1 November 2024 yang kini ditadbir Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bertujuan memastikan pemulihan institusi secara menyeluruh, berstruktur dan berintegriti.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia juga bagi memperkasa semula NAFAS secara menyeluruh dan memastikan semua operasi selaras dengan hala tuju serta semangat asal penubuhannya.

Beliau berkata, LPP kini memantau secara aktif urusan harian NAFAS, menjalankan siasatan terhadap isu-isu yang telah dikenal pasti dan menambah baik amalan tadbir urus organisasi.

"Pentadbiran sementara ini tertakluk kepada arahan langsung daripada LPP dan dibantu Majlis Penasihat NAFAS terdiri daripada lima ahli profesional berpengalaman dalam bidang tadbir urus dan pengurusan kerajaan.

"Majlis ini diberi mandat untuk menilai semula semua aspek pengurusan dan perniagaan NAFAS termasuk syarikat-syarikat subsidiarinya," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan mengenai status terkini penggantungan perlembagaan NAFAS sejak 1 November tahun lalu dan pembaharuan yang telah dilaksanakan dalam perlembagaan baharu tersebut.

Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, strategi pembaharuan sedang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula, termasuk transformasi tadbir urus, penilaian dan penstrukturan semula pengurusan, penstrukturan syarikat-syarikat subsidiari dan pelaksanaan audit pengurusan.

Selain itu, ia meliputi pemantauan berterusan, pengukuhan mekanisme semak dan imbang, penguatkuasaan kod etika serta integriti dan kepelbagaian sumber pendapatan dan pemulihan kepercayaan awam.

Katanya, sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap pemulihan jangka panjang, strategi itu akan dibentang melalui dokumen blueprint penambahbaikan tatakelola dan daya saing NAFAS 2.0.

"Langkah ini dijangka akan mengembalikan kredibiliti serta meningkatkan keberkesanan dan ketelusan operasi NAFAS, selaras dengan objektif asal penubuhannya untuk memperjuangkan kepentingan peladang di seluruh negara," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF