TANGGA BATU, 2 November - Pindaan Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 yang berkuat kuasa Ogos lepas dapat menarik minat pelabur baharu dalam industri tenaga atom negara.
Tempoh sah lesen yang boleh diperbaharu antara satu hingga 40 tahun, berbanding hanya tiga tahun sebelum ini, dijangka meningkatkan keyakinan pelabur.
Sekaligus, membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom Malaysia, Noraishah Pungut berkata, langkah itu memberi ruang kepada industri merancang pelaburan jangka panjang selain memastikan kawal selia tenaga atom dilaksanakan dengan lebih cekap dan selamat.
"Dengan pembaharuan lesen ini, akan lebih ramai lagilah penggiat industri ini sebab ada (buka) peluang kepada pelabur-pelabur. Dengan memberikan lesen yang lebih besar ini, mereka (pelabur) rasa yakin dan dikawal selia (secara lebih) selamat. Secara tidak langsung, membuka peluang pekerjaan terutamanya kepada rakyat," menurut beliau.
Ketika ini, lebih 1,700 pemegang lesen dikawal selia jabatan berkenaan di seluruh negara.
Noraishah ditemui pada majlis penyerahan projek Kampung Angkat MADANI di Tangga Batu, Melaka.