fb fb fb fb fb

Pindaan Akta 166, dibentang Oktober depan - BHEUU

Foto Fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Ogos- Satu Memorandum Jemaah Menteri akan dibawa untuk pertimbangan dan persetujuan bagi membuat beberapa pindaan serta menambah baik Akta Profesion Undang-Undang 1976 [Akta 166].

Jika dipersetujui, pindaan tersebut akan dibentangkan pada sesi Parlimen bulan Oktober 2024, sekali gus memberi manfaat kepada hampir 23,000 pengamal undang-undang di negara ini.

Pertemuan dan perbincangan berlangsung antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi - UURI) dengan Majlis Peguam Malaysia (Malaysian BAR) sebagai antara langkah pengukuhan perkhidmatan guaman dalam menempuh cabaran dunia pada masa depan.

Antara perkara dalam Akta 166 yang dibincangkan merangkumi empat perkara iaitu perkongsian guaman liabiliti terhad serta pusat bantuan guaman Majlis Peguam, pindaan kepada Seksyen 77 mengenai kuasa Majlis Peguam dengan kelulusan Peguam Negara dan pindaan kepada Seksyen 11, 15 dan 36 mengenai latihan dalam kamar (pupillage).

Majlis Peguam turut membentangkan cadangan penubuhan Persatuan Peguam-Peguam Antara Negara-Negara Anggota ASEAN (Inter ASEAN Lawyer’s Association).

Pertemuan turut melibatkan perbincangan lanjut mengenai hala tuju penggubalan akta baharu berkaitan bantuan guaman, dengan mengambil kira aspek pembelaan awam bagi kes-kes jenayah yang sedang dikendalikan oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) melalui pembentangan dari Jabatan Bantuan Guaman.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM