fb fb fb fb fb

Cuaca kering luar biasa, dua empangan Pulau Pinang merosot

Kawasan tadahan Teluk Bahang muka sauk empangan

GEORGETOWN, 20 Ogos- Kapasiti efektif di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang semakin merosot sejak awal bulan ini, ekoran cuaca kering luar biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Ir. K. Pathmanathan dalam satu kenyataan berkata, sehingga semalam kadar air di kedua-dua empangan masing-masing berada pada paras 27.6 peratus dan 25.2 peratus.

Meskipun pihaknya merekodkan bacaan air hujan di empangan berkenaan awal bulan ini, namun paras air masih tidak mampu mencapai kapasiti efektif.

"Situasi itu berisiko memberi kesan kepada 74-ribu 798 pengguna domestic terutama di kawasan Air Itam, Farlim, Teluk Bahang, Batu Ferringih, Tanjung Bungah dan kawasan berhampiran," katanya.

Dalam pada itu beliau memohon sokongan dan kerjasama pengguna di kawasan tersebut agar mengurangkan penggunaan air harian.

Ia termasuk mengurangkan aktiviti membasuh kenderaan membabitkan penggunaan air yang tinggi, aktiviti penyiraman tanaman menggunakan pili selain mengelak pembaziran daripada pili air terbuka tanpa kawalan. 

Bagaimanapun situasi berkenaan dijangka pulih menjelang akhir tahun sekiranya menerima ramalan hujan bermula September depan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI