fb fb fb fb fb

Pinda akta tangani ancaman ikan pemangsa di perairan umum

KUALA KANGSAR, 24 Mac - Jabatan Perikanan Perak sedang dalam proses draf akhir untuk meminda Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992 dan Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) bagi pemantauan dan penguatkuasaan penternakan di perairan umum di negeri ini.

Pengarahnya Noraisah Hashim berkata pindaan tersebut akan dibentangkan kepada Majlis Mesyurat Kerajaan negeri (MMK) dalam masa terdekat untuk pertimbangan dan mendapat kelulusan.

”Jika diluluskan, ia djangka akan diwartakan pada akhir tahun ini membabitkan denda RM5,000 untuk orang perseorangan dan RM10,000 membabitkan pertubuhan jika melepaskan spesies ikan pemangsa.

“Langkah itu juga bertujuan mengenal pasti jenis ikan yang akan diternak dan aktiviti akuakultur perlu didaftarkan dengan jabatan itu agar tidak ada ikan pemangsa diternak di samping menambah peruntukan larangan melepaskan spesies ikan pemangsa ke perairan umum yang boleh mengancam habitat spesies ikan di perairan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Pelepasan Benih Ikan/Udang untuk Malaysia Book Of Records Bersempena Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum Serentak Seluruh Malaysia peringkat Perak di Sungai Perak di Batu Limbong, Bendang Kering di sini hari ini.


(Ikan baung ekor merah Asia (Phractocephalus hemioliopterus) yang menjangkau saiz gergasi/FOTO hiasan)

Majlis pelepasan 350,000 benih udang, ikan lampan dan ikan terbul bernilai RM50,000 itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Razman Zakaria.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian sangkar ikan baung ekor merah yang diternak secara haram di Teluk Intan, pecah akibat dihanyutkan arus deras Sungai Perak pada Mac tahun lepas.

Noraishah berkata pihaknya turut bimbang dengan kemasukan pelbagai ikan luar yang kini berada di perairan Sungai Perak antaranya ikan baung ekor merah Asia (Phractocephalus hemioliopterus) yang menjangkau saiz gergasi dan patin high fin' (Neoarius berneyi) yang memakan ikan tempatan.

Beliau berkata, selain dua spesies itu, turut mencetuskan kebimbangan apabila perairan khususnya sungai di Perak, kini turut didiami spesies ikan asing berbahaya seperti ikan bandaraya, tilapia (Cichla spp), patin siam, peacock bass serta udang kara air tawar.

Sementara itu Razman berkata pendaratan ikan darat di negeri ini mencatat 3,195.08 metrik tan ikan sungai dengan nilai RM45.13 juta pada 2021.

Menurutnya, Jabatan Perikanan Perak juga telah melepaskan lebih 2 juta ekor benih ikan pelbagai spesies ke perairan umum setiap tahun dengan nilai lebih RM500,000 dalam usaha memperkayakan sumber dan memulihkan habitat perikanan darat.

Katanya secara tidak langsung program ini memberi manfaat kepada pendapatan harian lebih 3,000 nelayan di negeri ini. - BERNAMA

Media Baharu