fb fb fb fb fb

Pihak berkuasa digesa siasat terperinci isu hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di KLIA

Putrajaya, 8 Julai- Pihak berkuasa perlu melakukan siasatan terperinci berhubung isu hampir 400 jemaah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad menegaskan, sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan, pihak terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan dan diberi hukuman setimpal.

"Ia sebagai pengajaran kepada semua pihak agar tidak lagi berulang kes sedemikian.

Saya melahirkan rasa kecewa mengenai insiden yang tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia melibatkan urusan Rukun Islam yang perlu dipandang berat oleh semua umat Islam, termasuklah pihak agensi yang menguruskan jemaah haji," katanya menerusi kenyataan.

(Sebahagian daripada jemaah haji yang terkandas di KLIA selepas dipercayai
ditipu sebuah agensi pelancongan)

Sehubungan itu, beliau memohon pihak teraniaya dan seluruh keluarga untuk mengambil peluang pada hari Arafah untuk bermunajat dan berdoa bagi mendapatkan keredhaan Allah meski tidak dapat menunaikan haji di tanah suci.

Datuk Idris turut meminta rakyat Malaysia terutamanya umat Islam agar berwaspada dan berhati-hati dalam kes sedemikian, serta mendapatkan nasihat daripada Tabung Haji (TH) walaupun menggunakan khidmat agensi luar untuk mengerjakan haji.

Kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA semalam dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Bakal jemaah itu dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui TH.

Media Baharu