fb fb fb fb fb

Bekas pemain badminton negara didakwa menipu lebih RM58,000

(Bangunan Mahkamah Shah Alam)

SHAH ALAM, 8 Julai- Seorang bekas pemain badminton kebangsaan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menipu seorang lelaki berjumlah RM58,029.53 untuk tujuan pertaruhan dalam talian dan pelaburan tidak wujud enam tahun lalu.

Lin Woon Fui, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, Woon Fui didakwa memperdayakan seorang lelaki sebanyak RM28,029, yang mempercayainya akan melipatgandakan wang menerusi pertaruhan dalam talian dan RM30,000 untuk pelaburan saham tidak wujud.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah premis di Setia Alam, Seksyen U13 Shah Alam antara 6 Jun hingga 29 November 2016.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irna Julieza Maaras manakala tertuduh peguam B.Chandrateeban.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM pada 1 hari bulan setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam B.Chandrateeban memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan ke atas anak guamnya dengan alasan tertuduh adalah penanggung utama keluarga selain memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

(Lin Woon Fui, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan
di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir)

Muhamad Anas kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan.

Tertuduh membayar jaminan tersebut.

Mahkamah juga menetapkan 17 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. 

Tertuduh pernah memenangi pingat gangsa dalam acara badminton berpasukan lelaki di Sukan Asia 2006.

Media Baharu