fb fb fb fb fb

Malaysia dipilih duduki kerusi IGC-ICH sesi 2022-2026

PUTRAJAYA, 8 Julai- Malaysia buat julung kalinya berjaya menduduki kerusi Jawatan Kuasa Antara Kerajaan Untuk Melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (IGC-ICH) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi sesi 2022-2026.

Kejayaan itu selepas Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menang bertanding dalam kumpulan Asia Pasifik dengan meraih 110 daripada 132 undi keseluruhan atau 83 peratus.

Keputusan itu diumumkan Penolong Pengarah Sektor Budaya UNESCO Ernesto Ottone R ketika sesi kesembilan Mesyuarat Agung Konvensyen Untuk Melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara berlangsung di UNESCO, Paris, semalam.

Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Saraya Arbi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi tersebut.

"Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan kerana kepakaran serta keupayaan Malaysia diiktiraf dan diyakini untuk turut sama menentukan hala tuju perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WTK) melalui jawatankuasa tersebut," menurut kenyataan MOTAC.

(Deligasi Malaysia diketuai Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi / Foto FB MOTAC)

Kejayaan menduduki kerusi itu adalah pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa sejak meratifikasi Konvensyen Untuk Melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara UNESCO pada 23 Julai 2013.
 
Secara dasarnya, IGC-ICH bertanggungjawab terhadap hala tuju pemeliharaan dan perlindungan WTK.

Antara tanggungjawab negara anggota IGC-ICH adalah menyediakan garis panduan amalan terbaik dan membuat pengesyoran perlindungan WTK, menilai pencalonan negara anggota bagi pengiktirafan di bawah senarai WTK, serta meluluskan program, aktiviti dan bantuan antarabangsa.

MOTAC berkata sehingga kini, enam elemen WTK di Malaysia telah disenaraikan di bawah konvensyen itu iaitu Mak Yong (2005), Dondang Sayang (2018), Silat ( 2019), Upacara Wangkang (2020), Pantun (2020) dan Songket (2021).

"Keberadaan Malaysia di platform peringkat antarabangsa khususnya UNESCO dapat membantu meningkatkan identiti dan visibiliti negara dalam usaha memelihara warisan yang tidak ternilai untuk dikongsi dan diwarisi kepada generasi akan datang," kata MOTAC lagi.

Media Baharu