fb fb fb fb fb

Rangka manusia ditemukan dalam perut buaya di Tatau

FOTO JBPM SARAWAK

BINTULU, 1 Oktober - Rangka manusia ditemukan dalam perut seekor buaya yang ditangkap di Sungai Semanok, Tatau, pagi tadi.

Laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, reptilia itu ditangkap selepas empat hari operasi mencari seorang lelaki yang dilaporkan hilang di sungai berkenaan pada Sabtu lalu.

"Buaya tersebut berjaya ditangkap oleh penduduk kampung sebelum pasukan Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan bantuan anggota bomba membelah perut reptilia berkenaan.

"Hasil pembedahan ke atas buaya itu menemukan beberapa bahagian tubuh manusia termasuk kepala, rahang, perut dan paha," menurut PGO JBPM Sarawak.

Semua penemuan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sabtu lalu, Jeffery Masing Anak Win, 21 tahun, dilaporkan mandi bersama abangnya sebelum disambar buaya.

Usaha abangnya untuk menyelamatkan mangsa gagal selepas reptilia itu mengheretnya ke dalam sungai.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE