KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Keberanian 34 sukarelawan Malaysia menyertai misi Sumud Flotila ke Palestin dianggap wira kemanusian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook, menyanjungi keberanian mereka yang sanggup meredah cabaran demi membawa harapan dan keadilan buat rakyat Gaza.
"Seluruh dunia menyanjung keberanian para pejuang kemanusiaan, termasuk 34 wira Malaysia dalam Sumud Flotila yang tidak gentar meredah badai demi Palestin. Semangat kalian membelah resah, meruntuhkan tembok kezaliman dan menyalakan harapan dunia bahawa keadilan pasti akan tertegak," katanya.
Menurut beliau lagi, doa serta sokongan seluruh rakyat Malaysia akan terus mengiringi perjuangan mereka hingga selamat tiba ke bumi Gaza.
"Dari tanah air, doa dan sokongan rakyat Malaysia tidak akan pernah putus. Kami akan terus bersama kalian dan keluarga, memastikan perjuangan ini teguh berdiri hingga selamat tiba ke bumi Gaza," jelas beliau dalam catatan tersebut.
Global Sumud Flotilla kini berada kurang 160 batu nautika (296 kilometer) dari wilayah yang dikepung itu dan dijangka memasuki zon berisiko tinggi malam ini.