SHAH ALAM, 1 Oktober - Sebanyak 91 ribu 680 premis diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, dari Januari hingga September tahun ini, dalam usaha mempertingkat penguatkuasaan terhadap premis perniagaan di seluruh negeri Selangor.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,318 kompaun telah dikeluarkan, manakala nilai rampasan mencecah RM8.9 juta.
Beliau menambah, sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 43 operasi bersepadu turut dijalankan bagi mengesan pelbagai kesalahan.
"Antara contoh kesalahan, kita mendapati ada beberapa kedai tidak meletakkan tanda harga seperti timbang sukat yang tidak disahkan.
"Sama juga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah kompaun beberapa premis contohnya tiada tanda di premis serta resit tidak meletakkan nombor juga satu kesalahan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Pemeriksaan Bersepadu KPDN Selangor ke atas premis runcit di sini hari ini.
Selain itu, antara kesalahan yang direkodkan seperti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Timbang dan Sukat 1972, serta Akta Perlindungan Pengguna 1999.