fb fb fb fb fb

IKIM: Tolak lawatan Trump tidak selaras Maqasid al-Syariah

Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil/RTM

KUALA LUMPUR, 1 Oktober - Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyokong pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil bahawa penolakan terhadap kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia bersempena Sidang Kemuncak ASEAN adalah tidak selaras dengan Maqasid al-Syariah.

Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, sebaliknya, kunjungan itu wajar dijadikan ruang untuk Malaysia menunjukkan kebijaksanaan diplomasi yang halus tetapi berprinsip, beradab dan berani selain memperlihatkan kedaulatan negara di mata dunia.

"Dalam kerangka syariah, maslahah yang lebih besar dapat dicapai apabila pintu dialog dibuka dengan akal yang tenang dan hujah yang jelas demi memelihara keamanan (hifz al-amn) dan menegakkan maruah insani," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kehadiran Trump seharusnya ditafsir sebagai tanda persetujuan negara terhadap dasar luar Amerika yang bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia, sebaliknya, menjadi kesempatan untuk menegaskan pendirian Malaysia tentang Palestin, genosid etnik serta tuntutan keadilan sejagat.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, jelasnya, memiliki tanggungjawab moral untuk menggunakan peluang emas itu sebagai medan diplomasi yang berimpak tinggi, termasuk mencadangkan penubuhan mekanisme bersama AS–Malaysia untuk memantau hak asasi di kawasan konflik dan menyokong penyiasatan bebas antarabangsa.

“Sebarang kerjasama atau bantuan daripada Amerika Syarikat juga wajar diikat dengan syarat pematuhan prinsip hak asasi, larangan menyalurkan sokongan kepada pihak yang menggerakkan perang atau genosid serta penyertaan dalam usaha pemulihan pasca-konflik,” katanya.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI