fb fb fb fb fb

Pengurusan jenazah Tun Dr Mohamed Hashim ikut istiadat ketenteraan

Allahyarham Jeneral Tun Dr Mohamed Hashim Mohd Ali

KUALA LUMPUR, 1 Oktober - Pengurusan jenazah bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tun Dr Mohamed Hashim Mohd Ali, yang meninggal dunia hari ini, akan dilaksana mengikut protokol istiadat ketenteraan, termasuk istiadat penghormatan tertinggi sebelum disemadikan.

Menurut kenyataan Markas ATM, Operasi Rampai akan diatur gerak sebagai lambang penghormatan tertinggi daripada ATM kepada Panglima Angkatan Tentera (PAT) kesembilan itu.

"Jenazah Jeneral Tun Dr. Mohamed Hashim akan disembahyangkan di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan dan disemadikan selepas Solat Isyak di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Sungai Besi dengan penuh adat istiadat ketenteraan," menurut kenyataan itu.

Upacara penghormatan terakhir dijangka dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar barisan panglima perkhidmatan serta bekas PAT.

Allahyarham Jeneral Tun Dr Mohamed Hashim meninggal dunia pada usia 88 tahun sekitar pukul 11.52 pagi, hari ini.

Jeneral Tun Dr Mohamed Hashim yang dilahirkan di Ipoh, Perak merupakan antara anak tempatan yang mendapat latihan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom.

Sebelum kembali ke tanah air dan ditauliahkan ke dalam kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1955.

Sepanjang perkhidmatan, beliau diberi kepercayaan memegang beberapa jawatan utama seperti Panglima Rajang Security Command (RASCOM), Panglima 2 Divisyen dan Panglima Tentera Darat, sebelum dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera kesembilan dari tahun 1987 hingga 1992.

Markas ATM memaklumkan, Allahyarham dikenang sebagai pemimpin yang membawa perubahan besar terhadap hala tuju pertahanan negara.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ