KUALA NERUS, 7 Julai- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengunakan kepakaran penyelam professional, bagi membantu dan melatih golongan belia Orang Kurang Upaya (OKU) dalam aktiviti skuba.
Kepakaran dalam bidang tersebut sekali gus memberi pendedahan kepada pelatih selam skuba UMT, menangani belia OKU untuk menyelam di dasar laut.
Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan UMT, Prof Madya Dr Hasrizal Shaari berkata latihan dijalankan di kolam renang UMT, sebelum mereka dibawa ke Pulau Bidong untuk merasai pengalaman sebenar berada di dasar laut.
Program boleh disertai mereka yang mengalami masalah deria pendengaran dan cacat anggota badan.
"Bagi pandangan kita, dengan aktiviti selam skuba yang melibatkan OKU ini kita nampak bahawa terdapat perubahan dari segi peserta yang datang, apabila menyertai program yang kita kata sebagai selaman untuk OKU ini, mereka akan lebih lega atau hilang kesakitan buat sementara waktu," katanya kepada RTM.
(Prof Madya Dr Hasrizal Shaari)
"Sasaran kami adalah untuk dibawa ke Pulau Bidong tetapi latihan pertama yang perlu kita laksanakan adalah di kolam, jadi segala kemahiran, teknik cara berenang akan ajar di kolam air cetek, kemudian meneruskan renang di air terbuka sekiranya mereka layak, kita tengok bagaimana penerimaan dia," menurut Tenaga Pengajar Skuba, Rafidah Razali.
(Rafidah Razali)
Ketika ini sesi pemanas badan diadakan semula selepas dua tahun program latihan ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.
UMT merupakan universiti pertama di negara ini mempunyai kumpulan penyelam professional pada tahun 2017.