fb fb fb fb fb

Banjir Baling: TNB hulur bantuan bakul makanan, wang tunai

(Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyampaikan sumbangan
kepada mangsa banjir pada lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)
Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai. Kupang/BERNAMA)


KUALA LUMPUR, 8 Julai- Tenaga Nasional Berhad (TNB) tampil menghulurkan bantuan berbentuk bakul makanan dan wang tunai kepada lebih 100 keluarga penduduk terjejas banjir di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Tiga PPS berkenaan adalah PPS Surau An-Nur Taman Mesra, PPS Sekolah Menengah Agama Yayasan Al-Khiriah dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai.

TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, sebahagian sumbangan mula diagihkan oleh Menteri Tenaga Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, sejak semalam.

Datuk Seri Takiyuddin turut melawat pepasangan TNB yang terjejas akibat banjir serta memuji tindakan pantas warga TNB dalam memulihkan kembali bekalan selepas tragedi terbabit.

"Takiyuddin juga menghargai bantuan yang dihulurkan warga kerja TNB kepada mangsa-mangsa banjir.

"Dalam kejadian bermula petang 4 Julai 2022 tersebut, 22 pepasangan TNB termasuk pencawang elektrik terpaksa dihenti tugas sementara bagi mengelakkan kejadian renjatan elektrik dan memastikan keselamatan orang ramai terjamin.

(Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan beramah mesra bersama mangsa banjir
 ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir pada lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)
Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai, Kupang/BERNAMA)


"Tindakan segera TNB telah berjaya menyambungkan semula bekalan secara berperingkat dengan kesemua 22 pepasangan elektrik yang terjejas telah dipulihkan sepenuhnya jam 6.48 petang hari berikutnya," menurut kenyataan itu.

Jelas TNB lagi, bantuan berkenaan hasil kutipan Tabung warga TNB menerusi potongan gaji pekerja bagi meringankan beban rakyat, terutamanya golongan B40.

"Penyerahan bakul bantuan makanan dan wang tunai yang diselenggarakan Pejabat Dearah Baling itu sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada mangsa-mangsa yang akan menyambut Hari Raya Aidiladha beberapa hari sahaja lagi," menurut kenyataan berkenaan.

Media Baharu