fb fb fb fb fb

Oksigen rendah, ammonia tinggi punca ikan mati di Sungai Bera

Siasatan awal mendapati tiada pencemaran biotoksin atau bakteria berbahaya seperti E. coli dan Salmonella dikesan./JABATAN PERIKANAN MALAYSIA

PEKAN, 1 Oktober – Kandungan oksigen terlarut yang rendah serta tahap ammonia tinggi dikenal pasti menjadi punca ikan mati di Sungai Bera, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran sama ada berpunca daripada aktiviti industri, perbuatan disengajakan atau faktor lain.

Menurut beliau, analisis sampel air yang dijalankan di Makmal Biosekuriti Perikanan Kuantan mendapati paras oksigen berada bawah tahap minimum yang diperlukan bagi menyokong kehidupan akuatik.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati tiada pencemaran biotoksin atau bakteria berbahaya seperti E. coli dan Salmonella dikesan.

Air tercemar tersebut tidak menjejaskan keselamatan ikan untuk dimakan kerana ia hanya melibatkan kualiti air.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan memastikan ikan yang diperoleh daripada kawasan berkenaan masih segar sebelum dimakan.

"Keadaan pencemaran sungai ini sangat mendukacitakan industri perikanan kerana ia menjejaskan nelayan sungai, selain memberi risiko kepada penternak sangkar yang berdepan kemungkinan kematian ikan memandangkan ikan dalam sangkar tidak dapat berpindah ke tempat lain,” katanya.

Sebelum ini, Pejabat Perikanan Daerah Bera menerima aduan daripada nelayan sungai Kampung Lubuk Tembangan mengenai perubahan warna air Sungai Serting yang berbau busuk serta dipenuhi ikan mati.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Agihan Bantuan Asnaf Nelayan Darat Negeri Pahang bertempat di Kampung Padang Rumbia, Pekan, Pahang.

Terdahulu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenan berangkat ke Program Bantuan Asnaf Nelayan Darat Negeri Pahang anjuran Yayasan AmanahRaya dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

Turut mengiringi baginda, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI