fb fb fb fb fb

Kes Datuk Seri Ismail Sabri : SPRM serah keputusan AGC

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki

PUTRAJAYA, 1 Oktober - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serah urusan pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, ketika ini pihaknya sedang menunggu keputusan AGC sama ada perlu meneruskan pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan.

Tegasnya, keputusan itu tertakluk kepada budi bicara jabatan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau dan pasukannya sudah melaksanakan tugas untuk memulih dan mengembalikan aset negara kepada kerajaan.

"Saya hanya menunggu daripada Peguam Negara sama ada kesnya nak diteruskan atau tidak. Terpulang kepada beliau, tetapi kita sudah menjalankan tugas dan kesemua aset berkenaan sudah dipulihkan," katanya kepada pemberita.

Dalam perkembangan lain, SPRM mengesahkan telah mengambil keterangan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr. Jeffrey Gapari Kitingan berhubung pendedahan video terbaharu oleh ahli perniagaan, Albert Tei.

Tan Sri Azam yang mengesahkan perkara itu berkata, pegawai-pegawai Timbalan Ketua Menteri Sabah itu juga sudah dipanggil untuk membantu siasatan.

Katanya, setakat ini lebih 10 keterangan saksi sudah diambil dan siasatan masih lagi dijalankan.

"Saksi-saksi lain kita akan teruskan dan saya diberitahu, ada video-video baru yang dikeluarkan dalam satu portal dan akan melihat kepada keterangan berkenaan." katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 dan Peluncuran “Keep Malaysia Clean” (KMC) di Puspanita Puri di sini.

 

SITI AISHA MELISA YUHANIZ