fb fb fb fb fb

PGU PDRM laksana penugasan keselamatan di LIMA'25

Konvoi PGU bawa kenderaan sokongan operasi udara termasuk bowser/Foto Facebook PGU PDRM

KUALA LUMPUR, 13 Mei - Pasukan Gerakan Udara (PGU), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digerakkan bagi menyertai penugasan keselamatan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) yang memasuki edisi ke-17 tahun ini.

Petugas bagi elemen kawalan keselamatan dan sokongan darat bagi operasi pesawat telah diatur gerak awal pagi semalam dari Pangkalan PGU Semenanjung di Subang ke Pulau Langkawi.

Menurut kenyataan PGU, taklimat keselamatan pergerakan aset dan kenderaan telah disampaikan oleh Ketua Operasi Penerbangan PGU, ACP Faizul Muhammad, yang juga bertindak sebagai Ketua Delegasi PGU ke LIMA ’25.

"Konvoi tersebut melibatkan pelbagai jenis kenderaan sokongan darat bagi keperluan operasi udara termasuk kenderaan bahan api pesawat (Bowser), aset Unit Dron PGU serta beberapa lagi aset sokongan lain.

"Kesemua kenderaan diiringi oleh kenderaan peronda Mobile Patrol Vehicle (MPV) daripada Cawangan Pengawal Pengiring (CPP) Polis Selangor, dengan bantuan MPV dari daerah polis di negeri Perak sepanjang laluan ke utara," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Kesemua aset terbabit telah berlepas ke Pulau Langkawi dari Jeti Kuala Perlis menggunakan perkhidmatan kargo feri roro.

Persiapan itu sebagai sebahagian daripada persediaan logistik dan operasi keselamatan sempena pameran berprestij itu yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN