fb fb fb fb fb

PGSS sasar bantu golongan OKU sertai aktiviti selam skuba

SUBANG, 7 September- Persatuan Gagasan Sukarelawan SeMalaysia (PGSS) mengambil inisiatif untuk mengumpul dana bagi membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) melibatkan diri dalam bidang selam skuba.

Penasihatnya, Datuk Nurzarina Sepran berkata usaha murni ini bukan sahaja memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk merasai pengalaman menakjubkan di dalam laut malah menyelam menjadi terapi bagi mereka.

"Matlamat kita adalah untuk memperkasakan golongan OKU dalam bidang sukan skuba dan juga kita ingin mengumpulkan dana untuk membantu lebih ramai golongan OKU supaya boleh sama-sama sertai aktiviti sebegini," kata Nurzarina ketika ditemui dalam Majlis Makan Malam Amal "DiveHeart", di sini.


(PenasihatĀ PGSS, Datuk Nurzarina Sepran berkata demikian ketika ditemu bual RTM)

Turut sama Pengasas dan Presiden DiveHeart International, Jim Elliot, Duta DiveHeart Malaysia, Syed Abd Rahman Syed Hassan dan Penasihat Perubatan DiveHeart, Profesor Dr. Nazirah Hasnan.

Menurut Duta DiveHeart Malaysia, Syed Abd Rahman tiada apa boleh menghalang golongan OKU sekiranya peluang dan ruang diberikan.

Aktiviti selam skuba bersama Diveheart Malaysia ialah untuk memberi peluang kepada golongan khas merasai "zero graviti" dan juga merasai hubungan badan di dalam air di mana ia antara salah satu terapi," tambah Syed Abd Rahman kepada RTM.

DiveHeart adalah sebuah organisasi bukan bermotifkan keuntungan yang berpangkalan di Chicago, Amerika Syarikat dan ia khusus membantu golongan OKU dalam aktiviti penyelaman skuba.

Di Malaysia, organisasi ini dibantu oleh Kids Scuba, sebuah pusat milik persatuan pakar selam profesional, di Kajang, Selangor, yang menyediakan kemudahan termasuk peralatan menyelam.

Kedua-dua organisasi ini membantu melatih komuniti OKU dalam aktiviti selam skuba di sekitar Malaysia.

Media Baharu