fb fb fb fb fb

PGA Simpang Renggam berjaya rampas rokok seludup bernilai ratusan ribu ringgit

JOHOR BAHRU, 28 Januari - Batalion Lima Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam merampas 4,120 karton dipercayai rokok seludup bernilai RM296,344 menerusi dua operasi berasingan di Johor Bahru dan Batu Pahat, Johor semalam dan kelmarin.

Operasi turut merampas 15 kotak mercun bernilai RM12,400.

Pegawai Pemerintah Batalion Lima PGA, Superintenden Dimin Awang memaklumkan operasi dijalankan 6.50 petang semalam melibatkan penahanan seorang lelaki 39 tahun, di Kampung Ungku Mohsin, di sini.

"Pemeriksaan ke atas kereta suspek menjumpai 15 kotak mercun manakala pemeriksaan sebuah kontena di kawasan tersebut menjumpai 2,620 karton dipercayai rokok seludup."

"Siasatan awal mendapati suspek aktif membekalkan rokok tidak bercukai ke kedai runcit sekitar Johor Bahru," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, operasi dijalankan lapan malam kelmarin, di Sungai Jambi Laut, Rengit, Batu Pahat pula menjumpai beberapa bungkusan hitam di dalam semak bawah pokok berisi 1,500 karton dipercayai rokok seludup.

Anggaran nilai cukai kedua-dua kes ialah RM634,652.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967, selain Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

 

Media Baharu