SUNGAI PETANI, 28 Januari - Seorang veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan sebuah motosikal lain.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah berkata mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat digilis lori terbabit dalam kejadian yang berlaku di berdekatan simpang tiga ke Teloi, Jalan Bukit Selambau Jeniang.
Katanya mangsa, Zakaria Ismail dari Kampung Bukit Kecil Simpor, 62 tahun yang menunggang motosikal dari arah Teloi ke Jeniang dipercayai keluar simpang tanpa henti lalu melanggar belakang sebuah motosikal lain dari Jeniang ke Bukit Selambau.
Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh di laluan bertentangan lalu dilanggar lori yang tidak sempat mengelak datang dari arah Bukit Selambau ke Jeniang.
Mangsa disahkan maut dilokasi kejadian.
Kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.