fb fb fb fb fb

Pewartaan PSKL 2040 ditangguhkan sehingga 31 Mei – Anwar

(Bandaraya Kuala Lumpur/FOTO Pexels Pok Rie)

KUALA LUMPUR, 8 April - Pewartaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) ditangguhkan bagi membolehkan sesi libat urus dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sehingga 31 Mei ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, DBKL perlu mengadakan perbincangan bersama pihak berkepentingan dalam satu tempoh yang mencukupi selain mendapatkan maklum balas sewajarnya dalam penyempurnaan pelan berkenaan.

“Kendatipun begitu, saya juga mengambil perhatian akan pandangan yang berkehendakkan supaya pewartaan dokumen ini ditangguhkan bagi memberi peluang yang lebih luas kepada pihak berkepentingan yang lain untuk menyatakan pandangan terhadap pelan pemajuan bandaraya Kuala Lumpur.

“Dalam hal ini saya telah mempertimbangkan dan bersetuju pewartaan PSKL 2040 ditangguh bagi membolehkan pelanjutan sesi libat urus dilaksanakan sehingga 31 Mei 2023,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

(FOTO Pexels Zukiman Mohamad)

Perdana Menteri menyatakan keputusan tersebut dibuat selepas mempengerusikan sesi pembentangan draf PSKL 2040 oleh DBKL, semalam.

Katanya beliau mengambil maklum bahawa proses penyediaan dokumen telah dilaksanakan mengikut keperluan yang diperuntukkan di dalam Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267) dengan teratur.

Media Baharu