fb fb fb fb fb

Pewartaan 52 buah taman laut, Malaysia ke arah SDG

PORT DICKSON, 8 Jun- Negara kini telah mempunyai 52 buah taman laut yang telah diwartakan dengan jumlah kawasan 25,358.39 kilometer persegi atau 5.35% dari keseluruhan perairan keluasan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Chin berkata ia berikutan dua kawasan perlindungan marin yang terbaharu diwartakan dibawah Seksyen 41, Bahagian IX, Akta Perikanan 1985 (penubuhan taman laut atau rizab laut).

Ia melibatkan Taman Laut Negeri Melaka berkeluasan 26.97 kilometer persegi dan Taman Laut Gugusan Pulau Lima Johor berkeluasan 299.0 kilometer persegi.

"Sebenarnya Malaysia komited nak wujudkan 10% daripada EEZ taman laut. Maksudnya, kita sekarang sudah separuh jalan, kita nak mencapai Sustainable Development Goal (SDG) menjelang 2030.

Lebih kurang tujuh tahun dari sekarang. SDG penting untuk pembangunan mampan," kata Chan Foong Hin kepada pemberita ketika ditemui pada program Sambutan Hari Laut Sedunia 2023, di sini.

Tambahnya, usaha itu akan berterusan dengan penambahan kawasan Santuari Dugong dan perairan Pulau Layang-Layang yang dijangka akan diwartakan sebagai kawasan perlindungan marin menjelang tahun 2025.


(Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Chin ditemui pemberita
pada program Sambutan Hari Laut Sedunia 2023)

Media Baharu