
KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang meneliti mekanisme baharu bagi memastikan perlindungan pengguna domestik daripada peningkatan kos elektrik dapat diteruskan selepas bantuan sedia ada berakhir Disember ini.
- PETRA berbincang dengan Suruhanjaya Tenaga untuk mengenal pasti kaedah terbaik meneruskan perlindungan pengguna domestik.
- Perlindungan bil untuk pengguna sehingga 800 kWj sebulan melibatkan 8.8 juta akaun, manakala 550,000 akaun melebihi had itu.
- PETRA memanfaatkan Kumpulan Wang Industri Elektrik serta memberi nasihat penjimatan tenaga termasuk penggunaan peralatan seperti penyaman udara.
Timbalan Menteri PETRA, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kementerian telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi mengenal pasti kaedah terbaik untuk meneruskan perlindungan berkenaan.
Menurutnya, perlindungan bil elektrik bagi pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 800 kilowatt jam (kWj) sebulan ketika ini melibatkan 8.8 juta akaun pengguna.
Beliau berkata, Kumpulan Wang Industri Elektrik yang dimanfaatkan sejak Mei 2026 turut menjadi antara mekanisme bagi menangani peningkatan kos tenaga, sekali gus mengelakkan beban kewangan ditanggung sepenuhnya oleh pengguna.
“Kita sudah memikirkan satu mekanisme dan PETRA telah berbincang dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk memastikan perlindungan ini dapat kita teruskan.
“Kita ada 8.8 juta akaun dan yang tertanggung 550,000 pengguna yang antara pertengahan itu.
“Di bawah penggunaan 800 kWj, 8.8 juta. Yang di atas 800 kWj, 550,000 pengguna. Yang ini kita nak selamatkan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, PETRA turut komited memberikan khidmat nasihat kepada pengguna mengenai langkah penjimatan tenaga, khususnya penggunaan peralatan elektrik seperti penyaman udara yang menyumbang kepada peningkatan penggunaan elektrik.