
KUDAT, 19 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk memperluas subsidi diesel kepada pengusaha feri bagi laluan Kudat-Pulau Banggi susulan pengurangan kekerapan perjalanan akibat peningkatan kos operasi dan bahan api.
- Perkhidmatan feri penting sebagai pengangkutan utama penduduk Pulau Banggi untuk bekalan, perkhidmatan asas dan aktiviti ekonomi serta sosial.
- KPDN telah memulakan perbincangan dengan dua syarikat pengendali feri mengenai isu pengoperasian.
- Pengendali feri mengaitkan pengurangan perjalanan dengan peningkatan kos operasi dan harga diesel.
- Pelaksanaan dan mekanisme subsidi tertakluk kepada keputusan Kementerian Kewangan; cadangan fokus kepada keperluan penduduk bukan pelancongan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, cadangan itu mengambil kira kepentingan perkhidmatan feri sebagai pengangkutan utama penduduk Pulau Banggi untuk ke Kudat bagi mendapatkan bekalan keperluan harian, mengakses perkhidmatan asas serta menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial.
“Pengangkutan feri merupakan mod pengangkutan utama penduduk, termasuk untuk urusan dengan agensi kerajaan, penghantaran barangan keperluan serta aktiviti ekonomi dan sosial.
“Perkara ini perlu kita tangani dan telah dimulakan siri perbincangan, termasuk dengan dua syarikat pengendali feri yang sedia ada untuk sektor ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih Rakyat dan Jualan Rahmah MADANI di Pulau Banggi, di sini.
Menurut beliau, KPDN bersama ADUN Banggi dan agensi kerajaan berkaitan telah mengadakan perbincangan dengan dua syarikat pengendali feri yang mengaitkan pengurangan perjalanan dengan peningkatan kos operasi dan diesel.
Katanya, cadangan subsidi itu mengambil kira keperluan penduduk setempat dan bukannya aktiviti pelancongan.
Pelaksanaan serta mekanisme subsidi itu tertakluk kepada keputusan Kementerian Kewangan.
Dalam perkembangan berkaitan, KPDN turut melaksanakan 35 siri Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) di Pulau Banggi dari 1 Januari hingga 18 Oktober tahun ini, berbanding 31 siri sepanjang 2025.
Program Pengedaran Barang Perlu pula melibatkan 77 pusat jualan di tiga zon, iaitu Karakit, Damaran dan pulau-pulau sekitar Pulau Banggi.