fb fb fb fb fb

Festival Makanan dan Produk Halal Thai medium erat hubungan Malaysia-Thailand

(Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman (dua, kanan) bersama Duta Besar Thailand ke Malaysia, Chainarong
Keratiyutwong (kanan) pada gimik perasmian Festival Makanan dan Produk Halal Thailand)

KOTA BHARU, 28 Ogos - Festival Makanan dan Produk Halal Thailand (Thai Festival 2022) yang kini berlangsung di Kelantan menjadi medium mengeratkan lagi hubungan sedia terjalin antara Malaysia dan Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata selain mengetengahkan pelbagai produk dari negara itu, ia sekali gus mampu melonjak jumlah pelancong domestik ke negara berkenaan.

"Kebersamaan ini beri peluang kepada kita eratkan lagi silaturrahim antara Kelantan, Thailand, selatan Thai, setiap tahun ada kemungkinan pada masa akan datang Kelantan buat festival makanan dan kebudayaan Kelantan ke sana, sambutan ramai di Kelantan, kita harap akan ramai pelancong dari Thai datang ke Kelantan dan Kelantan ke Thai sebagai pelancong domestik meningkatkan lagi dan jana ekonomi kepada pengusaha-pengusaha," kata beliau selepas merasmikan Thai Festival 2022 bersama Duta Besar Thailand ke Malaysia, Chainarong Keratiyutwong, di sini.

Ia dianjurkan Kementerian Luar, Pejabat Kedutaan Thai dan Royal Thai Consulate-General.

Thai Festival 2022 diadakan pada setiap tahun di bandar-bandar utama seluruh dunia sejak lebih 20 tahun lalu.


(Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman (dua, kanan) bersama Duta Besar Thailand ke Malaysia,
Chainarong Keratiyutwong (kanan) semasa melawat ke gerai makanan sempena Festival
Makanan dan Produk Halal Thailand) 

Ia dilihat sebagai mekanisme penting dalam menggerakkan dan membina hubungan yang rapat antara Thailand dan Malaysia khususnya dalam aspek ekonomi, sosial dan kebudayaan.

"Thailand dan Malaysia sangat rapat, saya rasa rakyat di sepanjang sempadan kita berada dalam satu keluarga yang sama dan inilah kebaikannya, peluang kepada kami untuk mempamerkan produk kami dan saya juga ingin melihat ini berlaku di Thailand, Malaysia juga mempunyai banyak produk yang menarik dan saya rasa budaya yang sangat menarik juga boleh dipamerkan di Thailand, saya fikir cara untuk meningkatkan hubungan dua hala kita adalah dengan mekanisme ini," kata Chainarong.

Thai Festival 2022 yang berlangsung selama dua hari di perkarangan Pejabat Kedutaan Thailand menyaksikan lebih 30 makanan tradisional negara itu dipamerkan termasuk laksa kari hijau, pulut mangga, somtam serta produk kraftangan yang dihasilkan penduduk khususnya dari wilayah Narathiwat.

Turut ditampilkan, persembahan seni kebudayaan seperti tarian menora, pameran kalungan bunga, gubahan bunga segar dan perhiasan pavilion Thai.

Acara tahunan itu akan diperluas pada masa akan datang bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Kelantan mengenali adat, seni dan budaya masyarakat Thailand.

Media Baharu