fb fb fb fb fb

Inisiatif pemulihan Sungai Klang mendapat sokongan syarikat korporat

Projek pembersihan sungai sepanjang 56 kilometer di bawah inisiatif Gerbang Maritim Selangor / Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 4 Ogos - Affin Bank Berhad (AFFIN) meneruskan komitmennya dalam inisiatif pemulihan Sungai Klang menerusi tajaan kos operasi jentera pembersih sampah, Interceptor 002 sebanyak RM1.5 juta bagi tempoh tiga tahun.

Usaha murni itu turut melibatkan penyertaan daripada MUFG Bank (Malaysia) Berhad (MUFG) dengan tajaan berjumlah RM250,000 secara sekali beri.

Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, penglibatan syarikat korporat dan institusi tempatan semakin meningkat dalam projek pembersihan sungai sepanjang kira-kira 56 kilometer di bawah inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG) itu.

''Setakat ini, kita telah menjalankan kerja pengorekan sebanyak 8km dan lebih 500,000 tan metrik sampah dan lumpur telah dikeluarkan.

“Pemulihan Sungai Klang ini adalah perancangan lima tahun. Kita dapati kedalaman Sungai Klang ini sekitar empat meter dan secara purata tiga meter dipenuhi sampah serta lumpur, manakala hanya satu meter untuk air.

''Jadi kerja-kerja pengorekan Sungai Klang ini adalah penting untuk mencegah banjir, meningkatkan kapasiti sungai selain meningkatkan kualiti air sungai,'' katanya selepas Majlis Perasmian Kerjasama Strategik antara Affin, MUFG dan SMG di sini, hari ini.  

Majlis tersebut dirasmikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang turut berkenan menandatangani plak sebagai simbolik kerjasama yang terjalin.

Tengku Permaisuri turut berkenan melawat ke Interceptor 002 bagi melihat pengoperasian jentera automatik bertenaga solar itu yang berfungsi untuk memerangkap dan mengutip sampah terapung di Sungai Klang.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali serta Duta Besar Jepun Ke Malaysia, Shikata Noriyuki.

HASRON BIN HASSAN