KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Thailand dan Kemboja menunjukkan komitmen tinggi untuk menghentikan ketegangan di sempadan dua hala menerusi mesyuarat peringkat sekretariat yang berlangsung hari ini di Wisma Perwira, Kuala Lumpur.
Mesyuarat itu diadakan menjelang Sidang Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Thailand-Kemboja yang dijadual Khamis ini dan antara lain membincangkan penubuhan Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN (AMT), sebuah inisiatif pemantauan yang akan memastikan pematuhan terhadap perjanjian gencatan senjata.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata mesyuarat yang dipengerusikan oleh pihak Kemboja itu membincangkan terma rujukan (TOR) dan langkah awal ke arah penempatan pasukan AMT.
“Sekarang mereka (Thailand dan Kemboja) sedang membincangkan pra syarat untuk AMT masuk. Sekiranya semua berjalan, kita akan mendapat satu kata putus yang amat positif pada Khamis ini,” katanya kepada media selepas menghadiri sesi bersama ketua sekretariat kedua-dua negara.
Malaysia bertindak sebagai pemudah cara dalam mesyuarat tiga hari itu dan tidak mengambil bahagian dalam rundingan antara dua negara berkenaan.
“Mesyuarat ini sepatutnya berlangsung di Phnom Penh, tetapi Thailand meminta Malaysia menjadi tuan rumah. Hanya kedua-dua belah pihak (Thailand dan Kemboja) yang terlibat secara langsung untuk capai kata sepakat berkaitan TOR, AMT dan sebagainya.
Kita hanya memudahkan hala tuju rundingan dan menekankan perkara-perkara yang perlu dicapai sebelum Khamis ini,” jelasnya.
Jelas beliau lagi, Malaysia bersama Amerika Syarikat (AS) dan China akan hadir sebagai pemerhati pada mesyuarat GBC luar biasa nanti.
Sesi susulan tidak rasmi turut dirancang melibatkan Menteri Pertahanan dan Menteri Luar ketiga-tiga negara Malaysia, Kemboja dan Thailand.
Antara perkara yang ditekankan dalam perjanjian damai termasuklah gencatan senjata sepenuhnya, larangan pergerakan tambahan tentera di kawasan sempadan (mengekalkan status quo), penyediaan bantuan perubatan, tiada serangan tidak langsung, dan larangan mengeluarkan kenyataan bercanggah secara terbuka.
Thailand dan Kemboja sebelum ini bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula tengah malam 28 Julai lalu, hasil rundingan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya.
Rundingan itu menyaksikan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bersetuju menamatkan ketegangan yang memuncak sejak beberapa minggu sebelumnya.
Sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditanda secara rasmi telah lama menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara dan beberapa kali mencetuskan konflik diplomatik.
Krisis terbaharu memuncak pada 28 Mei lalu apabila berlaku insiden tembakan di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.