KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Malaysia sedia memainkan peranan utama dalam memperkukuh kerjasama undang-undang serantau menerusi Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang akan berlangsung bermula 19 hingga 21 Ogos ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, diterajui oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, ia bakal menghimpunkan menteri-menteri undang-undang dan kehakiman dari negara-negara ASEAN bagi mencapai satu kenyataan bersama (Joint Statement) dalam bidang kerjasama perundangan.
"Joint Statement ini sangat penting kerana ia menggambarkan komitmen negara-negara ASEAN, termasuk kementerian undang-undang, kehakiman dan agensi berkaitan untuk bekerjasama dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN. Terutamanya dalam beberapa bab undang-undang yang boleh digunapakai secara bersama", kata Datuk Seri Azalina pada sidang media selepas Majlis Pra-Peluncuran Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di
di Parlimen hari ini.
Forum ini juga akan membincangkan isu berhubung cabaran perundangan serantau seperti timbang tara antarabangsa, mediasi, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dalam amalan perundangan, reformasi undang-undang jenayah dan komersial, insolvensi rentas sempadan serta hak asasi manusia dalam perniagaan.
Forum ini akan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 20 Ogos 2025, disusuli majlis makan malam gala di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.