fb fb fb fb fb

Operasi padam kebakaran tanah gambut ladang nanas Marudi masuki hari ke-10

FOTO BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT MARUDI

MIRI, 4 Ogos – Operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di ladang nanas Marudi, Logan Unga, Jalan Nanas, memasuki hari ke-10 hari ini dengan tumpuan pemadaman dan pemantauan rapi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Penolong Penguasa Bomba Jessbent Jenus berkata, operasi yang bermula pukul 9.26 pagi menggunakan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan pam Godiva, mengambil sumber air dari kolam buatan berhampiran lokasi kebakaran.

“Operasi terpaksa dihentikan seketika pada jam 11.40 pagi apabila paras air kolam berkurangan, sebelum disambung semula selepas rehat tengah hari. Bagi sesi petang, kami menggunakan aliran sejauh 800 kaki dari kolam buatan di lokasi berbeza,” katanya.

Operasi ditangguhkan pada jam 4.30 petang selepas keluasan kira-kira satu ekar berjaya dipadamkan.

Menurut Jessbent, jumlah asap di kawasan kebakaran kini berkurangan dengan ketara hasil daripada tindakan water bombing yang dilaksanakan serta bantuan hujan lebat semalam.

“Walaupun keadaan semakin baik, kebakaran tanah gambut memerlukan pemantauan berterusan bagi mengelakkan api merebak semula, terutamanya dalam cuaca panas dan kering,” tambahnya.

Operasi pemadaman pada hari ini ditamatkan pada pukul 5 petang dan akan disambung semula esok.

Turut terlibat dalam operasi, Pegawai Operasi BBP Marudi, Pegawai Bomba Kanan Nasir Razali bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE