KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Cadangan pembayaran pencen secara bulanan menerusi simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu dilaksanakan secara fleksibel dan berteraskan pilihan, bukan secara mandatori.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, pendekatan itu penting bagi memberi perlindungan jangka panjang yang efektif kepada rakyat.
“Struktur bayaran pencen bulanan itu juga perlu disemak secara berkala dan ditingkatkan seiring kos sara hidup.
Saya harap kerajaan ambil pendekatan berperingkat serta memastikan skim baharu ini benar-benar berkesan,” katanya pada sesi perbahasan hari pertama usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini
Mohd Shahar yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan turut mengingatkan sekiranya cadangan anuiti bulanan itu diperluas, ia mesti dilindungi dari susut nilai akibat inflasi.
Sebelum ini, dokumen RMK13 menyatakan kerajaan akan meneroka mekanisme baharu bagi menjamin pendapatan berterusan selepas persaraan.
Ia termasuk pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.