fb fb fb fb fb

Pesta Air Kuala Perlis lonjak sektor pelancongan, tarik lebih ramai pengunjung

Perarakan bot berhias pada perasmian Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025/ BERNAMA

KUALA PERLIS, 13 September - Penganjuran Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 dijangka menarik kedatangan lebih ramai pengunjung ke Perlis khususnya bersempena cuti hujung minggu, sambutan Hari Malaysia serta musim cuti persekolahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, ia turut merancakkan sektor pelancongan negeri itu.

Pesta yang berlangsung dari 12 hingga 16 September ini diberikan nafas baharu dengan taraf antarabangsa, sekali gus meneruskan tradisi negeri sejak tahun 1961.

"Peserta antarabangsa turut terlibat bagi kategori perahu naga yang membabitkan 55 pasukan termasuk dari Thailand, Brunei Darussalam, Filipina selain Australia, England, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Libya dan Indonesia.

"Sebanyak 15 buah kampung sekitar Kuala Perlis pula terlibat dalam kategori perahu tradisional," katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 yang disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di sini.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid

Keindahan dan keunikan Perahu Diraja Jarum Emas Putra Jamalullail di tengah pancutan air berlampu melintasi perairan muara Sungai Kuala Perlis menjadi simbolik perasmian penganjuran pesta terbesar tersebut.

Selain bagi mempromosikan negeri Perlis sebagai salah satu destinasi pelancongan sukan sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2026 program juga bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI