fb fb fb fb fb

Pesawat ringan terhempas, seorang maut

IPOH, 1 Ogos - Seorang maut, manakala seorang lagi cedera selepas pesawat ringan dinaiki terhempas di tepi jalan raya berhampiran Sungai Rokam, Medan Gopeng, malam ini.

Mangsa maut dikenali sebagai Fajim Juffa Mustafa Kamal, beralamat di Semenyih, Selangor manakala mangsa cedera disahkan Muhammad Din Fikri Zainal Abidin.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, kedua-dua mangsa merupakan jurulatih penerbangan di Sekolah Penerbangan BATS Aviation, Ipoh.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, bomba cuba selamatkan mangsa dalam kejadian ini apabila mereka berjaya menyelamatkan, didapati seorang maut dan seorang lagi cedera. Mangsa meninggal dunia berusia 52 tahun, yang cedera berusia 62 tahun dibawa dengan ambulans pada 9.54 malam. Setakat itu sahaja maklumat yang kita dapat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk tindakan lanjut.

Sementara keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan dan punca kejadian masih dalam siasatan.


(Pesawat berwarna biru dan putih itu terjunam serta sebahagian pesawat mengalami kerosakan
tular menerusi media sosial)

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menzahirkan rasa sedih dengan perkembangan terkini kejadian pesawat ringan yang terhempas di Ipoh itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Saya dimaklumkan bahawa seorang juruterbang pesawat Piper 28 yang terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Ipoh telah disahkan maut, manakala seorang lagi pembantu juruterbang kini dirawat di hospital akibat kecederaan di bahagian kepala. Takziah kepada keluarga mangsa," katanya menerusi catatan di Facebook.
 
Tambah Wee, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) akan menyiasat insiden tersebut secara mendalam.
 
"Kejadian yang berlaku ini amat tragis dan kami akan melakukan yang terbaik untuk mengenalpasti punca kemalangan,” katanya.

Media Baharu