fb fb fb fb fb

Jenayah penipuan dalam talian: Selebriti tanah air turun padang perangi 'scammer'

JOHOR BAHRU, 1 Ogos- Didorong pengalaman sendiri berdepan penipuan dalam talian atau scammer, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie, turut turun padang menyertai Kempen Anti Scammer Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022.

Menurutnya, pengetahuan terhadap maklumat semasa adalah penting buat masyarakat agar dapat mengesan ancaman sindiket tersebut, sekaligus, mengelak daripada terpedaya.

Ujarnya lagi pengalaman dalam karier sebagai penggiat seni, membantu beliau mengenal pasti taktik penipuan sindiket, yang pernah mencuba memperdaya beliau menerusi panggilan telefon.

"Kita ni orang wayang, jadi jangan main wayang dengan orang wayang, memang kita tahu 'game' itu, jadi Alhamdulilah setakat ini belum pernah terpedaya. Saya cuma pernah kena maki, apabila saya maklum yang cubaan mereka untuk scam itu gagal," katanya.


(Penyanyi dan pelakon, Datuk Awie)

Selain itu, pelawak, Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, atau Saiful Apek, berkongsi pengalaman sama, berhadapan cubaan sindiket memperdaya beliau menerusi media sosial.

"Saya menipu tak pernah, ditipu memang selalu, jadi pengalaman itu, percubaan itu ada, memang ada melalui media sosial, melalui internet, kadang-kadang dia bagi pautan, ini antara yang paling popular, orang senang terkena, walhal dalam keadaan sedar, boleh tertekan pautan itu, selalu saya perasan, ramai yang mengadu," ujar Saiful Apek.


(Pelawak, Saiful Apek)

Awie dan Saiful Apek berkata demikian selepas sesi temubual di Konti Johorfm, petang tadi.

Mereka beranggapan, sindiket penipuan dalam talian yang sedang berleluasa kini bukan sahaja mampu memperdaya warga emas hingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit, malah turut menjadikan kesusahan masyarakat masa kini yang menawarkan pekerjaan di luar negara.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan peluang kerja dan wang ringgit ditawarkan.

Sebanyak 1,594 kes daripada 1,747 kes jenayah komersial yang disiasat di Johor sepanjang tahun ini, merupakan kes jenayah dalam talian.



Media Baharu