fb fb fb fb fb

RMK13: Pembinaan sejuta rumah mampu milik bawa sinar kepada rakyat

Foto BERNAMA

KUANTAN, 3 Ogos - Komitmen kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperluas pembinaan rumah mampu milik sehingga sejuta unit membawa sinar harapan buat rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Di Pahang, pengumuman itu disambut baik penduduk yang masih bergelut memiliki kediaman sendiri.

Rata-rata mereka berpandangan skim sewa beli daripada pihak kerajaan adalah perlu bagi membantu mereka yang terhimpit.

"Alhamdulillah dengan pengumuman berita ini untuk memperluaskan lagi pembinaan rumah mampu milik, bagi saya amat-amat bersyukur, dengan keadaan saya dah bertahun-tahun menyewa rumah jadi dengan adanya skim rumah sewa beli dan membayar secara ansuran untuk memiliki rumah tersebut jadi saya amat berbesar hati dengan harapan saya semoga suatu hari nanti saya memiliki rumah sendiri," kata suri rumah, Nor Adnin Zulkifli.

"Saya rasa gembira sebab harga rumah sekarang ini memang tinggi, kalau ada skim sewa beli macam ini untuk membantu belia macam kami," jelas suri rumah, Siti Nur Alawiah Termizi.

"Saya bersyukur walaupun saya dah ada rumah sendiri tapi anak-anak masih tinggal dengan saya dan saya bersyukur untuk skim ini sebab senang untuk anak-anak beli rumah," kata Rozita Abdul Razak, suri rumah.

"Ia boleh bagi keperluan kepada generasi akan datang, contoh anak muda yang masih belum ada rumah kan, dia boleh mengambil peluang ini lah," kata Mohd Badrulhisyam Zulkifli, pekerja swasta.

"Apa yang disarankan oleh Perdana Menteri baru-baru ini memang terbaik untuk golongan muda Maknanya, fasa baharu nak hidup nak dapat rumah itu amat sukar, jadi Perdana Menteri dah umum nak dapat rumah itu memang terbaiklah, memudahkan mereka untuk memiliki rumah, ade rumah kediaman sendiri untuk anak-anak mereka," kata Zaidah Shamsuddin, suri rumah.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan satu juta unit rumah mampu milik bakal dibina dalam tempoh 2026 hingga 2035 di bawah RMK13 bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah yang selesa dan selamat.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN