KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyasarkan sifar isi rumah miskin tegar di Kuala Lumpur menjelang akhir bulan ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata sasaran tersebut diharap akan dapat dicapai melalui pelbagai strategi yang telah dirancang dan dilaksanakan pelbagai pihak.
Katanya, menurut data di Wilayah Persekutuan, kira-kira 2,338 orang telah dikategorikan sebagai miskin tegar di Kuala Lumpur manakala di Labuan, 453.
"Kita kena ada penyelarasan data disebabkan Baitulmal memberi bantuan diantara RM500 ke RM1000 sebulan, JKM RM500 sebulan dan DBKL beri bantuan penyelenggaraan RM221 dan sewa rumah RM126 dibayar oleh Baitulmal.
"Mereka tidak perlu bayar sewa, tidak perlu bayar penyelenggaraan dan hanya terima pendapatan sahaja. Jika pendapatan mereka sebulan RM1,200 itu adalah pendapatan bersih sementara yang lain mendapat bantuan Baitulmal, JKM dan DBKL sendiri," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Bicara Naratif terbitan RTM di Angkasapuri.
Tambah Shahidan, data kemiskinan bandar sentiasa diperhalusi dan dipantau oleh jawatankuasa basmi miskin tegar dan miskin di peringkat Wilayah Persekutuan.