MIRI, 3 Ogos - Operasi mencari seorang lelaki yang hilang ketika mencari sayur dan umbut di kawasan berhampiran Terminal Bas Baru Miri diteruskan hari ini, memasuki hari kedua.
Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa dikenali sebagai Upil Anak Lutan, 44, dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran Jalan Bypass, Miri, sejak 1 Ogos lalu.
Menurut beliau, laporan kehilangan dibuat oleh adik mangsa, Timas Anak Lutan, selepas lelaki itu tidak pulang ke rumah.
Mangsa dipercayai keluar seorang diri ke hutan dan sempat menghubungi ahli keluarga sekitar pukul 8.30 malam bagi meminta dijemput. Namun, usaha keluarga mencari di kawasan tersebut tidak menemui sebarang petunjuk.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pada 2 Ogos jam 2 petang melibatkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan ahli keluarga, sebelum disambung semula pada pukul 8 pagi tadi.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan spekulasi negatif mengenai kejadian itu. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pemangku Ketua Polis Balai Miri, Sarjan Helmi Bin Yusop di talian 085-433 222 atau 013-5656 646.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, pasukan SAR dibahagikan kepada empat kumpulan dan menjalankan pencarian dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Sebanyak tujuh anggota bomba bersama beberapa aset logistik termasuk sebuah jentera FRT, EMRS dan pacuan empat roda Dmax digunakan dalam operasi itu. Turut membantu ialah pasukan Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am, APM serta ahli keluarga mangsa.