KOTA KINABALU, 3 Ogos - Kematian pelajar Zara Qairina Mahathir mendapat perhatian Perdana Menteri dan menegaskan insiden itu perlu disiasat secara telus.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara ini adalah negara hukum yang mempunyai undang-undang dan bukan medan untuk menyebar fitnah.
“Ada satu kematian baru-baru ini, Menteri Pendidikan diserang, dituduh macam-macam. Apa jadi dengan negara kita ini? Kematian ini bukan perkara ringan.
"Saya telah bercakap dengan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Saya arahkan siasatan dibuat segera. Mereka maklumkan lebih 60 orang telah dirakam keterangan,” katanya berucap pada Majlis Penutup Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 (HPPNK), di Sabah International Convention Centre, di sini hari ini.
Tambahnya, kertas siasatan kes pelajar tingkatan satu itu telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk pendakwaan.
"Saya panggil Peguam Negara, (saya) tanya dia kata - Ya hari Isnin kita dapat.
“Saya tidak campur, tetapi saya bertanya kerana rakyat mahu tahu,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak terburu-buru membuat tuduhan melulu tanpa asas.
“Negara ini negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa pun yang terlibat – sama ada Tan Sri, Datuk Seri, atau menteri – jika terbabit dalam jenayah pembunuhan, tidak akan diberi perlindungan,” tegasnya.
Zara Qairina Mahathir, 13, ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 4 pagi, 16 Julai lalu.
Pelajar itu disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Kes berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi dalam kalangan masyarakat di media sosial, dengan tanda pagar #Justice4Zara digunakan sebagai simbol tuntutan keadilan buat mangsa.