fb fb fb fb fb

Islamic Aid Malaysia, Etiqa Takaful salur bantuan pada golongan kurang berkemampuan

Foto Facebook Islamic Aid Malaysia (IAM)

ALOR SETAR, 3 Ogos - Atas dasar prihatin kepada masyarakat luar bandar yang memerlukan, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Islamic Aid Malaysia (IAM) bersama-sama Etiqa Takaful mengadakan program ‘Jejak Prihatin 2025’ Peringkat Negeri Kedah.

Seramai 250 keluarga asnaf menerima sumbangan sempena program berkenaan yang diadakan di Masjid Manarul Ehsan, Simpang Empat, Kuar, di sini.

Program tanggungjawab Zakat Korporat Etiqa bersama komuniti anjuran IAM ini turut disertai oleh sukarelawan IAM dan juga kakitangan Etiqa dari wilayah Utara adalah bertujuan untuk membantu meringankan beban kesusahan yang dihadapi oleh masyarakat kampung khususnya golongan yang kurang berkemampuan.
 
Melalui program ini, pihak Etiqa Takaful sebagai rakan kemanusiaan IAM telah membiayai sumbangan berbentuk pek makanan kepada 250 buah keluarga yang melibatkan penduduk di sekitar kawasan Simpang Empat.

Pek makanan tersebut mengandungi barangan keperluan asas harian seperti beras, gula, susu, minyak masak, sardin, biskut dan lain-lain serta sumbangan wang tunai. 

Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Wilayah Utara Etiqa Insurans dan Takaful, Hazli Mohamed Kassim dan Presiden IAM, Zawahir Abdullah.

Menurut Zawahir, kesemua penerima sumbangan ini adalah terdiri daripada golongan golongan fakir miskin, ibu tunggal miskin, warga emas miskin dan anak yatim yang telah dikenalpasti layak menerima bantuan.

Zawahir berkata pihaknya amat berterima kasih kepada Etiqa yang memberi kepercayaan kepada pihaknya dan juga prihatin terhadap usaha-usaha kemanusian yang telah dilaksanakan oleh Islamic Aid Malaysia.

"Kedah merupakan lokasi yang kelima dalam siri penjelajahan program ‘Jejak Prihatin 2025’  selepas negeri Selangor, Pahang, Kelantan dan Johor.

"Program ini akan diteruskan ke Perak, Sabah dan Sarawak bagi memenuhi tanggungjawab pengagihan sumbangan zakat Etiqa Takaful kepada mereka yang benar-benar memerlukan," jelas beliau.

Zawahir juga turut menyeru supaya lebih banyak lagi syarikat korporat turut mencontohi usaha Etiqa ini dalam menjayakan misi-misi kemanusiaan dan kebajikan kelolaan Islamic Aid Malaysia.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN