fb fb fb fb fb

Pesawah sambut baik usaha kerajaan ringankan kos pertanian

ARAU, 7 Disember- Pesawah menyambut baik usaha kerajaan membantu meringankan kos berikutan kenaikan harga input pertanian, kos jentera membajak dan menuai serta penurunan hasil padi yang ketara akibat perubahan cuaca.

Bagaimanapun, pegumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin berkata tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bersetuju memperuntukkan RM10 juta kepada pesawah untuk tahun ini dan RM50 juta pada tahun hadapan. Tindakan itu bertepatan dengan situasi yang dihadapi para pesawah.

Pada musim kali ini terdapat pesawah di Perlis yang terpaksa memajak tanah mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup ekoran terpaksa menanggung kerugian.

Ketika ditemui pemberita RTM, pesawah Ramli Bahari menyatakan, "kos bagi pesawah untuk mengerjakan sawah padi kira-kira RM900 bagi sebidang sawah termasuk menyewa mesin padi, traktor dan kos-kos lain. Bukan nak cakap rugi, tapi keuntungan yang diperoleh tidak sebanyak mana. Itu pun bergantung kepada padi."

Perkara itu juga merupakan tindakan yang perlu, jelas pesawah Mohd Hafif Mazlan, "bantuan ini memang sangat diperlukan para petani. Sebab kalau harga mesin padi turun pun memang tidak boleh untuk mengusahakan sawah padi sebab ianya sukar untuk diusahakan. Sekiranya tiada bantuan diberikan, memang petak padi ini tidak akan diusahakan. Buat masa ini, tuan tanah terpaksa membayar sewa kepada pemilik traktor berikutan tidak mampu membayar traktor."

(Foto hiasan)

Pesawah juga turut memohon agar kerajaan meneliti kaedah penyaluran bantuan tersebut agar matlamat dan manfaatnya dapat dirasai oleh pesawah tanpa ada keciciran.

Antara yang disarankan adalah menggunakan mekanisme seperti pemberian insentif bagi meningkatkan hasil atau menggunakan kaedah program besasar seperti Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

Bagi Nurulhisham Yaakob, dia berpendapat "bantuan perladangan ini memang diperlukan bagi meningkatkan pendapatan pesawah. Sekiranya diberikan secara berkumpulan oleh kerajaan, BERNAS serta agensi-agensi pertanian untuk menambah hasil pertanian. Sekiranya diberikan bantuan sekali bayar, ia tidak memberi perubahan kepada petani.

Sebelum ini program itu turut dilaksanakan di Perlis bawah seliaan Kementerian Pertanian yang dahulunya dikenali Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) secara bersama dengan BERNAS.

Ia melibatkan sawah padi seluas 49 hektar di Sungai Batu Pahat, Perlis.

Media Baharu