fb fb fb fb fb

Fitnah berulang - Anwar tidak terima RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor

(Foto FB Juwairiya Zulkifli)

KUALA LUMPUR, 7 Disember- Dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima bayaran RM15 juta semasa menjadi Penasihat Ekonomi Selangor, tidak benar dan ia hanyalah pengulangan fitnah yang sudah dinafikan berulang kali.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli merujuk kepada kenyataan Muhyiddin semasa ceramah kempen pilihan raya Parlimen Padang Serai yang mendakwa bahawa Perdana Menteri ke-10 itu telah menerima bayaran tersebut.

Jelas Juwairiya semasa tempoh Anwar menjadi Penasihat Ekonomi Selangor, beliau hanya diberikan gaji simbolik RM1 setahun.

“Gaji tersebut tidak dibayar kepada beliau sejak tarikh lantikan. Beliau tidak menerima sebarang bayaran elaun atau keistimewaan selain gaji RM1 tersebut, jelasnya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook beliau.

Tambahnya, perkara itu telah jelas tertera dalam Hansard Dewan Negeri Selangor menerusi jawapan kepada soalan oleh Ahli Dewan Negeri.

“Dengan mengitar semula rekaan yang tidak berasas, ini menunjukkan keterdesakkan dan kemuflisan modal politik PN dalam usaha kempen mereka setelah gagal membentuk kerajaan persekutuan,” kata Juwairiya.


(Foto 
Fail)

Katanya, tindakan menabur fitnah serta dakwaan palsu bagi mengaburi fikiran rakyat ini sangat tidak bertanggungjawab dan jelas terkeluar dari nadi politik Melayu-Islam yang selalu mereka dendangkan.

“Saya yakin pengundi Padang Serai wajar menolak PN dalam pilihan raya hari ini kerana masih mahu menagih undi dengan fitnah dan rekaan.

“Saya percaya di pihak YAB Perdana Menteri wajar mengambil tindakan selanjutnya bagi menghalang pengulangan fitnah ini terus dijaja oleh mereka yang bankrap akhlak dan etika dalam berpolitik,” menurut kenyataan itu.

Media Baharu