fb fb fb fb fb

Pesara guru wanita kerugian RM100,000

ALOR SETAR, 17 Januari - Seorang pesara guru wanita mengalami kerugian sebanyak RM100,000 selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai ejen insurans.

Mangsa menerima panggilan pada 3 Januari lalu daripada seorang individu yang mengaku seorang ejen insurans dari Kuala Lumpur berhubung satu kemalangan melibatkan mangsa dan tuntutan insurans yang dibuat mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (IPK) Kedah Supritendan Elias Omar berkata, hasil siasatan mendapati suspek memaklumkan mangsa yang berasal dari Sibu, Sarawak dan menetap di Changlun, Kedah terlibat dengan kes penggubahan wang haram.

"Mangsa diminta untuk memberikan 16 digit nombor yang tertera pada kad ATM akaun tempatan miliknya serta butiran perbankan atas talian untuk tujuan siasatan dan mangsa perlu menunggu selama tiga minggu. Namun mangsa berasa curiga dan telah membuat semakan mendapati wang dari akaunnya telah berkurangan iaitu terdapat pindahan wang sebanyak RM100,000 dari akaun milik mangsa ke akaun pihak ketiga secara berperingkat," kata Elias dalam satu kenyataan.

Suspek juga mengatakan waran tangkap telah dikeluarkan dan bagi mengelakkan mangsa ditangkap oleh pihak polis, mangsa perlu lapor setiap dua jam kepada suspek melalui aplikasi Whatsapp.

Dipercayai 2 lelaki Melayu adalah suspek merupakan pemilik akaun.

"Ekoran daripada kejadian tersebut satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan yang membawa kepada hukuman 10 tahun penjara dan dengan sebat, dan boleh juga dikenakan denda," katanya lagi.

Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar jangan sesekali percaya sepenuhnya sebarang panggilan yang mengaku dari mana-mana Jabatan Kerajaan atau institusi kewangan.

Sebaliknya orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi sendiri ke Jabatan berkenaan untuk pengesahan.

Sebelum membuat sebarang bayaran orang ramai boleh membuat semakan status akaun di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my>semakmule.

Sebarang kemusykilan atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi CCIS Response Center di talian 03-26101559 / 1599.

 

Media Baharu