PUTRAJAYA, 17 Januari- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal melaksanakan ujian lesen memandu secara automasi atau 'e-Testing' yang bakal dilancarkan sempena Sambutan Hari JPJ ke-76, pada bulan April nanti.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, sistem itu masih mengekalkan enam peringkat ujian iaitu belajar dalam kelas, litar dan jalan raya.
"Kebanyakan proses ujian, bahagian 1,2, 3 akan dipantau sepenuhnya melalui gajet IT. Biasanya pihak JPJ paling kurang ada 6 orang satu IM (Institut Memandu) guna e-testing kita boleh jimatkan petugas, kita boleh 'mobilize' petugas lain untuk kerja-kerja penguatkuasa sebab sistem hanya memerlukan 2 hingga 3 orang sahaja," katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 JPJ di sini hari ini,
Sistem itu juga membolehkan pegawai penguji JPJ memantau dari bilik kawalan manakala calon yang diuji berada bersendirian dalam kereta.
"Segala arahan atau kesalahan yang dilakukan oleh calon terbabit akan dipantau serta ditegur melalui bilik kawalan khas yang disediakan di Institut Memand (IM) terbabit. Keputusan ujian keluar cepat dan semua keputusan boleh dicetak segera," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zailani berkata JPJ menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM4.12 billion menjelang hujung tahun ini.
Sasaran kutipan itu meningkat berbanding RM4 bilion yang berjaya dikutip tahun lalu.
Bagi tujuan itu sebanyak 100 unit kios baharu akan ditempatkan di semua cawangan JPJ selain tambahan 20 buah van begerak (mobile JPJ) pada tahun ini.
"Kita ada pendekatan online iaitu melalui kiosk kita dan kita 'reach out' kepada melalui mobile unit kita di seluruh Putrajaya ini. Orang ramai cukup gemar membuat pembayaran menerusi kaunter ini, katanya.